9/25/11

Sejarah PAS Balik Pulau oleh Ibnu Hasyim


Untuk dijadikan rujukan buat semua


Sejarah Politik B.Pulau 1: PAS & ….

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“SEJARAH PAS Balik Pulau,.. Nak cerita apa?” Saya tanya, ketika ada antara kawan-kawan yang suruh cerita balik, bagaimana saya bersama-sama mereka gerakkan PAS Balik Pulau?

Kebetulan kereta yang mereka pandu bawa saya ini melintasi kawasan Air Putih, simpang tiga antara Permatang Pasir, Titi Teras dan Jalan Baru. “Waktu saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dulu, saya pernah menziarahi rumah itu…” Saya tunjuk kepada mereka.

Rumah seorang tokoh lama perjuangan rakyat Balik Pulau terkenal dengan gelaran ‘Hashim Chairman’. Waktu saya ziarah itu, beliau sedang sakit terlantar di rumahnya.. Maklumlah sudah lanjut usia, beliau dilahirkan di Balik Pulau pada tahun 1912. Latar belakang pendidikannya agak menarik. Dari sekolah Melayu Sungai Pinang, ke Daerattul Maarif Kepala Batas, Sekolah Al-Mashhor Pulau Pinang dan Anglo Chinese School Pulau Pinang. Namanya sama dengan nama ayah saya, iaitu Hashim bin Sulaiman.

Beliau pernah bekerja sebagai operator telefon, wakil akhbar Utusan Melayu & majalah Qalam dan guru Sekolah Nahdatun Al- Shun Al Dinnah, Balik Pulau. Beliau pernah menjadi AJK Kesatuan Melayu semasa pendudukan Jepun bagi Mukim Balik Pulau. Pengasas PKMM atau Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya cawangan Balik Pulau dan pengerusinya (1945-1949). Saya terangkan kepada mereka.

“Apa kena mengena dengan PAS?” Ada yang tanya.


“PAS masih belum ada waktu itu.. Tetapi darah perjuangan Islam tetap mengalir dalam tubuh perjaungannya. Itu sebab, kita jangan sombong bila berjaya menanam benih-benih di atas tanah yang sudah digembur oleh pejuang-pejuang terdahulu. Kita berjaya tubuh PAS Balik Pulau, juga kerana pertolongan kawan-kawan kita yang bukan PAS. Contoh, dari Partai Rakyat (atau PSRM = Partai Sosialis Rakyat Malaya) yang pernah memenangi Parlimen Balik Pulau tahun 1969. Lihat cerita saya sebelum ini ‘Kisah YB Balik Pulau’ di mana jasa Man Dagu (Maaf saya tak tahu nama sebenarnya) tidak dapat dilupakan.

Saya masih ingat lagi nama Non Jenjo (saya tak ingat nama sebenarnya) seorang pengembala lembu yang berani, turut membantu dan mengizinkan rumahnya diadakan ceramah PAS sekitar 1985-1986. Yang saya ingat rumahnya di belakang Pinang Nirai (nama dulu) antara jalan besar Simpang 4 ke Kongsi). Dia juga adalah aktivis Partai Rakyat, tidak takut dan gentar ugutan polis waktu itu.. yang puak-puak ustaz kita pun tak se berani beliau. Begitu juga saudara Umar Usman, beliau mengutus kawannya memberi tahu saya tidak dapat hadir dalam perjumpaan di kedai kopi Sungai Rusa malam beberapa hari lepas, kerana hari sudah larut malam dan badannya pun kurang sihat. Maaf saya tak sempat ke rumahnya selepas itu.

Kirim salam padanya, kalau ada kawan-kawan beliau membaca tulisan ini. Kami pernah berforum bersama-sama di KOMTAR, mengenai masalah Melayu Pulau Pinang berdepan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang waktu itu Dr Ibrahim Saat, dan tokoh S46 Haji Sulaiman Palestin. Begitu juga jasa kawan-kawan lain, walaupun dari UMNO yang menyokong kami dari belakang tabir. Apalagi bila lahir dari turunan mereka pimpinan PAS Kawasan sekarang, seperti Setiausaha Kawasan dan lain-lain.

“Kalau macam tu, YB Parlimen sekarang tak boleh la sombong sangat kerana dapat kemenangan mudah!!” Kata salah seorang dari kami.

Saya meneruskan cerita, “Seorang lagi pimpinan lama PAS yang membantu membangunkan PAS di Balik Pulau ialah Pak Leh atau Haji Idris. Beliau tinggal di Sungai Nibung. Ceramah beliau yang pertama di sini ialah di rumah Haji Ramli, sempadan antara Kampung Perlis dengan Pulau Betong. Beliau hadir mewakili PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang.” Saya masih ingat lagi ceramahnya.

Semasa buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ berada di pasaran pada 1991, seorang ahli PAS dari Bayan Baru menemui saya, katanya seolah-olah membantah, “Hampa (kamu) kata, hampa tubuh PAS Balik Pulau… bagi orang yang perjuangkan PAS sebelum ini di Balik Pulau macam mana? Contohnya Pak Leh, Haji Husin Derani dan ramai lagi..”

Saya akan huraikan lanjutnya dalam tulisan yang akan datang. Yang penting, Pak Leh mempunyai saham yang besar dalam membangkitkan PAS Balik Pulau. Terakhir saya jumpa Pak Leh di Sungai Nibong beberapa tahun lepas. Sehingga kawan saya berkata, “Pak Leh nampak makin muda, setelah lama tak jumpa. Di samping factor ketenangan dalam perjuangan, mungkin ada rahsia lain lagi..”

“Apa rahsianya, bagi tau la. Aku nak menuntut ilmunya?” Saya tanya.

“Tak boleh! Hanya orang yang lalui yang tahu. Atau kena tanya Pak Leh sendiri!!”

Terpinga-pinga saya. Saya diberitahu, Pak Leh baru berkahwin lagi, isteri muda orang Kemboja. Dan kawan saya yang bercakap tadi itupun baru tambah isteri. Tu kot rahsianya???

Sekian catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober06, 08 Balik Pulau, PP.



Sej. Politik B.Pulau 2: Ceramah PAS DiBaling Batu….


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


ENTAH macam mana, dikatakan kami tubuh PAS cawangan Kampung Perlis dulu tidak melalui PAS Perhubungan Negeri. Memang saya isi borang penubuhannya, dan terus ke ibu pejabat KL, waktu itu di Jalan Pahang Barat off Jalan Pahang. Konon marahlah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang waktu itu. Memang boleh tubuh pun, tapi saya tidak tahu hal itu menyalahi peraturan parti.

Pesuruhjaya PAS itu ialah Allayarham Haji Zabidi bin Ali. Haji Zabidi adalah antara pengasas penubuhan PAS, lahir 1914 di Seberang Perai. Asal dari Sekolah Melayu Seberang Perai, 4 tahun belajar di Mekah dan Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Menjadi guru agama antara 1942- 1964 dan ADUN Pulau Pinang mulai 1974… Pengalaman kepimpinan dan politiknya memang hebat. Pernah jadi AJK Persatuan Melayu Seberang Perai 1947-1948, pengasas dan YDP Perikatan Penanam-Penanam Padi Melayu Seberang Perai 1948-1951, dan YDP Pertubuhan Tani Malaya 1951-1955.

Istimewanya pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya pertama di Malaya 1955. Pernah jadi AJK Pegerakan Pemuda Melayu Seberang Perai, Pegawai Penerangan PAS 1951-1957, Pemangku Setiausaha Agung PAS 1956, dan AJK Perhubungan PAS Negeri Terenganu 1972-1976. (Mengapa AJK Perhubungan PAS Terengganu tidak Pulau Pinang?, Saya akan hurai pada kesempatan yang lain.) Memang peringkat awal nampak macam bercanggah antara saya dengan PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang. Negeri dengan polisinya membekukan sementara percambahan penubuhan cawangan baru.

Sedangkan saya di Balik Pulau terus menggempur penubuhan sebanyak mungkin cawangan. Kadang-kadang percanggahan seperti inilah yang memotivasikan kami, untuk terus menggerakkan PAS. Ini membuat jasa Tuan Haji Zabidi di Balik Pulau sangat saya kenang. Terakhir saya tinggalkan PAS Balik Pulau sekitar 1990an terdapat setiap saloran mengundi ada cawangan penaja, iaitu sebanyak 34 cawangan. Yang telah lulus pendaftaran kira-kira 20 cawangan. Sekarang saya tak tahu berapa..

Terdapat sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pernah kami berceramah di sebuah rumah di Sungai Tiram, di mana ada golongan tertentu yang ‘diupah’ melempari batu, untuk menggagalkan majlis kami. Penceramah waktu itu adalah kawan saya iaitu L.Man Kadir Shamsi, bekas pelakon dan pengarah filem sebelumnya. Saya ingat antara kata-katanya…

“…Jangan ingat kami gentar dengan baling batu ini… Ini! Lihat tangan saya, bekas parut dalam peristiwa berdarah di Lubuk Merbau Kedah masih belum kering lagi!!” Disambut dengan takbir bergemuruh. (Memang dia ada di Lubuk Merbau semasa berlaku peristiwa berdarah itu.)

Sekali dia dan saya datang dari KL kira-kira 2 minggu tinggal di Balik Pulau, mengatur, menyusun program dan kalau tiada penceramah, kami yang berceramah sendiri. Kami tidur di markas PAS Balik Pulau yang kami bina di Kampung Perlis, menelan belanja kira-kira RM30,000. Pernah sepanjang bulan Ramadzan dalam tahun 1986, kami adakan 25 ceramah lepas sembahyang tarawih. Hampir setiap bulan kami datang, waktu itu saya ada agak banyak wang, tapi bukan kaya…

Kadang-kadang lucu juga bila difikirkan, kerana kami yang tulis poster, kami yang tampal dan kami yang berceramah malamnya. Maklumlah, kerana petugas-petugas tak sampai 20 orang mulanya. Kuliah tetap di markas pun dimulakan. Antara tenaga pengajarnya ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi dan beberapa lagi. Sambung kisah tadi… Malam ceramah bersejarah itu, kami terpaksa menunggu hingga siang kerana tuan rumah takut rumahnya diserang lagi. Itulah detik-detik cemas, sedih dan pilu, yang sungguh menyayat hati bersama tuan rumah.

Antara penceramah-penceramah yang pernah berceramah di Balik Pulau waktu itu, ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Hadi, Mahfuz Omar, Mohd Sabu, Cikgu Wahab Kedah, Mat Izam Perak (sekarang Pimpinan Lajnah Buruh PAS Malaysia), Allahyarham Osman Marzuki, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi, Ustaz Mohd Hussin Kelantan, Kamal Koh & Reduan On dari KL, Yusuf Husin & Ustaz Harun Md Isa yang cedera dalam peristiwa Memali dan ramai lagi.

Sekian kisah sejarah PAS Balik Pulau dalam catatan santai kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober07, 08
Balik Pulau, PP.


Sej. Politik B.Pulau 3: Bersama Haji Yusuf Rawa…



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

KELUAR saja buku saya 1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’, saya hadiahkan kepada Tuan Haji Yusuf Rawa, kerana beliaulah penasihat kami, tempat rujukan dan apa-apa hal pun, kami cari beliau.

Contohnya, bila ceramah politik Ustaz Hadi yang kami rancang di Balik Pulau dibatalkan di saat akhir oleh pihak polis, kami tanya pendapat beliau. Katanya sebagai penyelesaian, “Batalkan ceramah politik, gantikan dengan ceramah agama, pindah ke tempat berdekatan..” Ertinya ceramah tetap dijalankan juga! Begitu juga mengenai kitab-kitab yang dijadikan teks pengajian di markas atau tenaga pengajar, kami kami rujuk kepada beliau. Juga mengenai buku saya itu setebal 672 itu, “Ada sikit maklumat yang tak betul..” katanya.

Yaitu pada muka surat 291 baris kedua dari bawah tertulis, ‘Beliau yang mendapat anugerah Jaksa Pendamai dari kerajaan Kedah …’ sebenarnya bukan ‘Kedah’ tetapi Pulau Pinang. Di sini saya mengambil kesempatan untuk membetulkan tulisan tersebut, iaitu maklumat tentang biografi dirinya. Haraf maaf, terutama kepada pembaca buku saya itu! Mengenai biogarfi beliau tak payah saya ulang lagi, kerana sudah ramai yang tahu. Banyak sudah ditulis orang, dan dalam buku saya itu agak panjang juga.

Yang penting cuma beliau yang lahir pada 8 Mei 1922 itu telah diamanahkan memimpin PAS menggantikan Dr Mohd Asri Haji Muda, Yang Di Pertua (YDP atau istilah baru Presiden) PAS ke 4, setelah Haji Ahmad Fuad Hasan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin Al-Helmi pada Muktamar Agung PAS ke 28. Muktamar yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada 22 Oktober 1982. Saya ada dalam majlis itu pada masa itu.

Begini serba sikit lapuran ceritanya…

Pada hari pertama muktamar itu seperti biasa ucapan dasar YDP PAS, dibentangkan. Ucapan yang banyak menimbulkan tidak puas hati perwakilan. Pada saya perwakilan pada masa itu mulai berubah.. antaranya kerana..

1.. Ahli PAS mula pertikaikan ‘pendekatan PAS ala kebangsaan’, bahkan hingga ada yang menuduh perjuangan PAS tidak Islamik yang perlukan perubahan.

2.. Semboyan kepimpinan ulama seperti yang berlaku di Iran dalam revolusi Islam pimpinan Ayatullah Khomeini 1979 menggulingkan Syah Iran yang didalangi Amerika, juga mempengaruhi muktamar.

3.. Ramai perwakilan yang bertakbir ‘Allahu Akbar’ bila bersetuju menyambut ucapan pemimpin menggantikan budaya ‘tepuk tangan dan bersorak’ sebelum itu.

4..Mereka mahu pimpinan atasan mereka termasuk YDPnya terdiri dari ulama atau berpendidikan agama yang tinggi.

5..Ucapan atau ulasan kepada ucapan dasar YDP itu dikatakan menghina majlis-majlis usrah ahli PAS dan suara-suara takbir ahli PAS kononnya dipengaruhi oleh negara Iran..

6.. Mungkin juga kerana kepimpinanan Mohd Asri sudah menampakkan kelemahan, terutama mengheret PAS ke dalam Kerajaan Campuran bersama BN, PAS disingkir dari BN, Politik Darurat merampas Kelantan secara curang dari PAS, kekalahan teruk dalam PRU 22 April 1982 dan lain-lain.

Pada hari kedua muktamar, tiba-tiba YDP PAS Haji Mohd Asri mengumumkan perlepasan jawatan.

1.. Hal ini berlaku, apabila ucapan dasar YDP dikritik hebat dan ditolak.

2.. Cadangan Mohd Asri supaya melantik Ustaz Abu Bakar Omar jadi Pengerusi Tetap muktamar juga ditolak. Yang terpilih waktu itu adalah Ustaz Kassim Ahmad dari Terengganu. Suatu tamparan kuat ke muka beliau.

Saya masih ingat, sebelah petangnya, waktu mengundi melantik Pengerusi Tetap, kiraan awalnya berpihak ke Ustaz Abu Bakar Umar, tetapi dibuat pengiraan semula atas alasan perwakilan masih belum masuk penuh. Undi waktu itu hanya melalui angkat tangan saja. Di sinilah teknik yang digunakan oleh puak-puak penentang Mohd Asri amat berkesan. Hal ini diakui sendiri oleh jurukiranya Saudara ….. (Maaf, belum mohon kebenaran untuk memaparkan namanya..) yang menambah jumlah undi penentang Mohd Asri. Menurutnya waktu itu kalau dikira betul-betul mungkin kemenangan berpihak kepada Mohd Asri.

Perlepasan jawatan Allahyarhan Mohd Asri disambut dengan takbir gembira beberapa kali oleh hadirin. Saya yang tak tahu politik dalaman parti apa-apa waktu itu turut gembira dengan melambung kain serban merah yang saya pakai. Kalau tak salah, saya mewakili PAS Kawasan KL Bandar yang di’group’kan dengan kumpulan pro Mohd Asri. Sekian lapuran muktamar ke 28 tersebut yang meletakkan Tuan Haji Yusuf Rawa sebagai orang nombor 1 dalam PAS.

Tuan Haji Yusuf juga pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, dalam tempoh masa yang agak lama. Beliau menggantikan Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang, yang diarahkan menjadi Pesuruhjaya pertama Terengganu bagi menggerakkan PAS di situ hingga berjaya PAS menawan Terengganu dalam PRU pertama lepas merdeka tahun 1959.

Teringat kisah lucu, gurauan dengan beliau se waktu berada di rumahnya…

“Nama ‘Rawa’ di hujung nama ana ini banyak memberi tuah pada PAS..” Kata beliau. Nama beliau sebenarnya Haji Yusseof bin Haji Abdullah Ar-Rawa. ‘Rawa’ adalah keturunan bangsawan dari tanah besar Sumatera, yang menjadi keturunannya.

“Fasai apa pulak Tuan Aji?” Saya tanya.

“Pernah ana jumpa seorang dari Menteri dari Negara Arab, bila ana perkenalkan nama ana Yusuf Abdullah Ar-rawi (Rawa), dia sangat gembira. Sangkanya kami adalah dari satu keturunan, ‘Ar-rawi’. Maka dia beri 3 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di negara Iraq. Saya beri pada PAS.. Salah seorang dari mereka yang dihantar belajar di sana adalah Haji Hasan Shukri.” Jelas beliau.

Rupanya Tuan Haji Hasan Shukri juga adalah orang yang membantu saya percepatkan penubuhan cawangan-cawangan dan PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau, semasa beliau bertugas di pejabat Agung PAS, masa itu.

Saya masih kenang jasa-jasa mereka semua. Kisah sejarah PAS Balik Pulau akan bersambung lagi, tetapi mungkin akan terputus sementara kerana saya tiada di Malaysia mulai besok. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) Oktober08, 08 KL..

No comments:

Post a Comment