Sejarah PAS Balik Pulau oleh Ibnu Hasyim
Untuk dijadikan rujukan buat semua
Sejarah Politik B.Pulau 1: PAS & …. 
 
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
  
 
 
  
“SEJARAH  PAS Balik Pulau,.. Nak cerita apa?” Saya tanya, ketika ada antara  kawan-kawan yang suruh cerita balik, bagaimana saya bersama-sama mereka gerakkan PAS Balik Pulau? 
  
 
  
Kebetulan  kereta yang mereka pandu bawa saya ini melintasi kawasan Air Putih,  simpang tiga antara Permatang Pasir, Titi Teras dan Jalan Baru. “Waktu  saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dulu, saya pernah menziarahi rumah  itu…” Saya tunjuk kepada mereka. 
  
 
  
Rumah  seorang tokoh lama perjuangan rakyat Balik Pulau terkenal dengan  gelaran ‘Hashim Chairman’. Waktu saya ziarah itu, beliau sedang sakit  terlantar di rumahnya.. Maklumlah sudah lanjut usia, beliau dilahirkan  di Balik Pulau pada tahun 1912. Latar belakang pendidikannya agak  menarik. Dari sekolah Melayu Sungai Pinang, ke Daerattul Maarif  Kepala Batas, Sekolah Al-Mashhor Pulau Pinang dan Anglo Chinese School  Pulau Pinang. Namanya sama dengan nama ayah saya, iaitu Hashim bin  Sulaiman.
  
 
  
Beliau  pernah bekerja sebagai operator telefon, wakil akhbar Utusan Melayu  & majalah Qalam dan guru Sekolah Nahdatun Al- Shun Al Dinnah, Balik Pulau.  Beliau pernah menjadi AJK Kesatuan Melayu semasa pendudukan Jepun bagi  Mukim Balik Pulau. Pengasas PKMM atau Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya  cawangan Balik Pulau dan pengerusinya (1945-1949). Saya terangkan kepada mereka.
  
 
  
“Apa kena mengena dengan PAS?” Ada yang tanya.
 
  
 
  
“PAS  masih belum ada waktu itu.. Tetapi darah perjuangan Islam tetap  mengalir dalam tubuh perjaungannya. Itu sebab, kita jangan sombong bila  berjaya menanam benih-benih di atas tanah yang sudah digembur oleh  pejuang-pejuang terdahulu. Kita berjaya tubuh PAS Balik Pulau, juga  kerana pertolongan kawan-kawan kita yang bukan PAS. Contoh, dari Partai  Rakyat (atau PSRM = Partai Sosialis Rakyat Malaya) yang pernah memenangi  Parlimen Balik Pulau tahun 1969. Lihat cerita saya sebelum ini ‘Kisah YB Balik Pulau’ di mana jasa Man Dagu (Maaf saya tak tahu nama sebenarnya) tidak dapat dilupakan.
  
 
  
Saya  masih ingat lagi nama Non Jenjo (saya tak ingat nama sebenarnya)  seorang pengembala lembu yang berani, turut membantu dan mengizinkan  rumahnya diadakan ceramah PAS sekitar 1985-1986. Yang saya ingat  rumahnya di belakang Pinang Nirai (nama dulu) antara jalan besar Simpang  4 ke Kongsi). Dia juga adalah aktivis Partai Rakyat,  tidak  takut dan gentar ugutan polis waktu itu.. yang puak-puak ustaz kita pun  tak se berani beliau. Begitu juga saudara Umar Usman, beliau mengutus  kawannya memberi tahu saya tidak dapat hadir dalam perjumpaan di kedai  kopi Sungai Rusa malam beberapa hari lepas, kerana hari sudah larut  malam dan badannya pun kurang sihat. Maaf saya tak sempat ke rumahnya  selepas itu. 
  
 
  
Kirim  salam padanya, kalau ada kawan-kawan beliau membaca tulisan ini. Kami  pernah berforum bersama-sama di KOMTAR, mengenai masalah Melayu Pulau  Pinang berdepan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang waktu itu Dr  Ibrahim Saat, dan tokoh S46 Haji Sulaiman Palestin. Begitu juga jasa  kawan-kawan lain, walaupun dari UMNO yang menyokong kami dari belakang  tabir. Apalagi bila lahir dari turunan mereka pimpinan PAS Kawasan  sekarang, seperti Setiausaha Kawasan dan lain-lain. 
  
 
  
“Kalau macam tu, YB Parlimen sekarang tak boleh la sombong sangat kerana dapat kemenangan mudah!!” Kata salah seorang dari kami.
  
 
  
Saya  meneruskan cerita, “Seorang lagi pimpinan lama PAS yang membantu  membangunkan PAS di Balik Pulau ialah Pak Leh atau Haji Idris. Beliau  tinggal di Sungai Nibung. Ceramah beliau yang pertama di sini ialah di  rumah Haji Ramli, sempadan antara Kampung Perlis dengan Pulau Betong.  Beliau hadir mewakili PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang.” Saya masih  ingat lagi ceramahnya.
  
 
  
Semasa buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’  berada di pasaran pada 1991, seorang ahli PAS dari Bayan Baru menemui  saya, katanya seolah-olah membantah, “Hampa (kamu) kata, hampa tubuh PAS  Balik Pulau… bagi orang yang perjuangkan PAS sebelum ini di Balik Pulau  macam mana? Contohnya Pak Leh, Haji Husin Derani dan ramai lagi..”
  
 
  
Saya  akan huraikan lanjutnya dalam tulisan yang akan datang. Yang penting,  Pak Leh mempunyai saham yang besar dalam membangkitkan PAS Balik Pulau.  Terakhir saya jumpa Pak Leh di Sungai Nibong beberapa tahun lepas.  Sehingga kawan saya berkata, “Pak Leh nampak makin muda, setelah lama  tak jumpa. Di samping factor ketenangan dalam perjuangan, mungkin ada  rahsia lain lagi..”
  
 
  
“Apa rahsianya, bagi tau la. Aku nak menuntut ilmunya?” Saya tanya.
  
 
  
“Tak boleh! Hanya orang yang lalui yang tahu. Atau kena tanya Pak Leh sendiri!!” 
  
 
  
Terpinga-pinga  saya. Saya diberitahu, Pak Leh baru berkahwin lagi, isteri muda orang  Kemboja. Dan kawan saya yang bercakap tadi itupun baru tambah isteri. Tu  kot rahsianya???
  
 
  
Sekian catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…
  
 
 Sej. Politik B.Pulau 2: Ceramah PAS DiBaling Batu…. 
 
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
  
ENTAH  macam mana, dikatakan kami tubuh PAS cawangan Kampung Perlis dulu tidak  melalui PAS Perhubungan Negeri. Memang saya isi borang penubuhannya,  dan terus ke ibu pejabat KL, waktu itu di Jalan Pahang Barat off  Jalan Pahang. Konon marahlah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang waktu itu. Memang boleh tubuh pun, tapi saya tidak tahu hal itu menyalahi peraturan parti.
  
 
  
Pesuruhjaya  PAS itu ialah Allayarham Haji Zabidi bin Ali. Haji Zabidi adalah antara  pengasas penubuhan PAS, lahir 1914 di Seberang Perai. Asal dari Sekolah  Melayu Seberang Perai, 4 tahun belajar di Mekah dan Madrasah Idrisiah  Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Menjadi guru agama antara 1942- 1964 dan  ADUN Pulau Pinang mulai 1974… Pengalaman kepimpinan dan politiknya  memang hebat. Pernah jadi AJK Persatuan Melayu Seberang Perai 1947-1948,  pengasas dan YDP Perikatan Penanam-Penanam Padi Melayu Seberang Perai  1948-1951, dan YDP Pertubuhan Tani Malaya 1951-1955.
  
 
  
Istimewanya pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya pertama di Malaya 1955. Pernah jadi  AJK Pegerakan Pemuda Melayu Seberang Perai, Pegawai Penerangan PAS  1951-1957, Pemangku Setiausaha Agung PAS 1956, dan AJK Perhubungan PAS  Negeri Terenganu 1972-1976. (Mengapa AJK Perhubungan PAS Terengganu  tidak Pulau Pinang?, Saya akan hurai pada kesempatan yang lain.) Memang  peringkat awal nampak macam bercanggah antara saya dengan PAS  Perhubungan Negeri Pulau Pinang. Negeri dengan polisinya membekukan  sementara percambahan penubuhan cawangan baru. 
  
 
  
Sedangkan  saya di Balik Pulau terus menggempur penubuhan sebanyak mungkin  cawangan. Kadang-kadang percanggahan seperti inilah yang memotivasikan  kami, untuk terus menggerakkan PAS. Ini membuat jasa Tuan Haji Zabidi  di Balik Pulau sangat saya kenang. Terakhir saya tinggalkan PAS Balik  Pulau sekitar 1990an terdapat setiap saloran mengundi ada cawangan  penaja, iaitu sebanyak 34 cawangan. Yang telah lulus pendaftaran  kira-kira 20 cawangan. Sekarang saya tak tahu berapa..
  
 
  
Terdapat  sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pernah kami berceramah di  sebuah rumah di Sungai Tiram, di mana ada golongan tertentu yang  ‘diupah’ melempari batu, untuk menggagalkan majlis kami. Penceramah  waktu itu adalah kawan saya iaitu L.Man Kadir Shamsi, bekas pelakon dan  pengarah filem sebelumnya. Saya ingat antara kata-katanya…
  
 
  
“…Jangan  ingat kami gentar dengan baling batu ini… Ini! Lihat tangan saya, bekas  parut dalam peristiwa berdarah di Lubuk Merbau Kedah masih belum kering lagi!!” Disambut dengan takbir bergemuruh. (Memang dia ada di Lubuk Merbau semasa berlaku peristiwa berdarah itu.) 
  
 
  
Sekali  dia dan saya datang dari KL kira-kira 2 minggu tinggal di Balik Pulau,  mengatur, menyusun program dan kalau tiada penceramah, kami yang  berceramah sendiri. Kami tidur di markas PAS Balik Pulau yang kami bina  di Kampung Perlis, menelan belanja kira-kira RM30,000. Pernah sepanjang  bulan Ramadzan dalam tahun 1986, kami adakan 25 ceramah lepas sembahyang  tarawih. Hampir setiap bulan kami datang, waktu itu saya ada agak  banyak wang, tapi bukan kaya… 
 
  
 
  
Kadang-kadang  lucu juga bila difikirkan, kerana kami yang tulis poster, kami yang  tampal dan kami yang berceramah malamnya. Maklumlah, kerana  petugas-petugas tak sampai 20 orang mulanya. Kuliah tetap di markas pun  dimulakan. Antara tenaga pengajarnya ialah Tuan Haji Yusuf Rawa,  Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi dan beberapa lagi. Sambung kisah tadi…  Malam ceramah bersejarah itu, kami terpaksa menunggu hingga siang kerana  tuan rumah takut rumahnya diserang lagi. Itulah detik-detik cemas,  sedih dan pilu, yang sungguh menyayat hati bersama tuan rumah. 
  
 
  
Antara  penceramah-penceramah yang pernah berceramah di Balik Pulau waktu itu,  ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Hadi, Mahfuz Omar,  Mohd Sabu, Cikgu Wahab Kedah, Mat Izam Perak (sekarang Pimpinan Lajnah  Buruh PAS Malaysia), Allahyarham Osman Marzuki, Allahyarham Sheikh  Fakhrur Razi, Ustaz Mohd Hussin Kelantan, Kamal Koh & Reduan On dari  KL, Yusuf Husin & Ustaz Harun Md Isa yang cedera dalam peristiwa  Memali dan ramai lagi.
  
 
  
Sekian kisah sejarah PAS Balik Pulau dalam catatan santai kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…
  
 
 Sej. Politik B.Pulau 3: Bersama Haji Yusuf Rawa… 
 
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
  
 
KELUAR saja buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’,  saya hadiahkan kepada Tuan Haji Yusuf Rawa, kerana beliaulah penasihat  kami, tempat rujukan dan apa-apa hal pun, kami cari beliau. 
  
 
  
Contohnya,  bila ceramah politik Ustaz Hadi yang kami rancang di Balik Pulau  dibatalkan di saat akhir oleh pihak polis, kami tanya pendapat beliau.  Katanya sebagai penyelesaian, “Batalkan ceramah politik, gantikan dengan  ceramah agama, pindah ke tempat berdekatan..” Ertinya ceramah tetap  dijalankan juga! Begitu juga mengenai kitab-kitab yang dijadikan teks  pengajian di markas atau tenaga pengajar, kami kami rujuk kepada beliau.  Juga mengenai buku saya itu setebal 672 itu, “Ada sikit maklumat yang  tak betul..” katanya. 
  
 
  
Yaitu pada muka surat 291 baris kedua dari bawah tertulis, ‘Beliau yang mendapat anugerah Jaksa Pendamai dari kerajaan Kedah  …’ sebenarnya bukan ‘Kedah’ tetapi Pulau Pinang. Di sini saya mengambil  kesempatan untuk membetulkan tulisan tersebut, iaitu maklumat tentang  biografi dirinya. Haraf maaf, terutama kepada pembaca buku saya itu!  Mengenai biogarfi beliau tak payah saya ulang lagi, kerana sudah ramai  yang tahu. Banyak sudah ditulis orang, dan dalam buku saya itu agak  panjang juga. 
  
 
  
Yang  penting cuma beliau yang lahir pada 8 Mei 1922 itu telah diamanahkan  memimpin PAS menggantikan Dr Mohd Asri Haji Muda, Yang Di Pertua (YDP  atau istilah baru Presiden) PAS ke 4, setelah Haji Ahmad Fuad Hasan, Dr  Abbas Alias dan Dr Burhanuddin Al-Helmi pada Muktamar Agung PAS ke 28.  Muktamar  yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada 22 Oktober 1982. Saya ada dalam majlis itu pada masa itu.

Begini serba sikit lapuran ceritanya…
  
 
  
Pada hari pertama  muktamar itu seperti biasa ucapan dasar YDP PAS, dibentangkan. Ucapan  yang banyak menimbulkan tidak puas hati perwakilan. Pada saya perwakilan  pada masa itu mulai berubah.. antaranya kerana..
  
 
  
1..  Ahli PAS mula pertikaikan ‘pendekatan PAS ala kebangsaan’, bahkan  hingga ada yang menuduh perjuangan PAS tidak Islamik yang perlukan  perubahan.
  
2..  Semboyan kepimpinan ulama seperti yang berlaku di Iran dalam revolusi  Islam pimpinan Ayatullah Khomeini 1979 menggulingkan Syah Iran yang  didalangi Amerika, juga mempengaruhi muktamar.
  
3..  Ramai perwakilan yang bertakbir ‘Allahu Akbar’ bila bersetuju menyambut  ucapan pemimpin menggantikan budaya ‘tepuk tangan dan bersorak’ sebelum  itu.
  
4..Mereka mahu pimpinan atasan mereka termasuk YDPnya terdiri dari ulama atau berpendidikan agama yang tinggi.
  
5..Ucapan  atau ulasan kepada ucapan dasar YDP itu dikatakan menghina  majlis-majlis usrah ahli PAS dan suara-suara takbir ahli PAS kononnya  dipengaruhi oleh negara Iran..
  
6..  Mungkin juga kerana kepimpinanan Mohd Asri sudah menampakkan kelemahan,  terutama mengheret PAS ke dalam Kerajaan Campuran bersama BN, PAS  disingkir dari BN, Politik Darurat merampas Kelantan secara curang dari  PAS, kekalahan teruk dalam PRU 22 April 1982 dan lain-lain.
  
 
  
Pada hari kedua muktamar, tiba-tiba YDP PAS Haji Mohd Asri mengumumkan perlepasan jawatan. 
  
 
  
1.. Hal ini berlaku, apabila ucapan dasar YDP dikritik hebat dan ditolak.
  
 
  
2..  Cadangan Mohd Asri supaya melantik Ustaz Abu Bakar Omar jadi Pengerusi  Tetap muktamar juga ditolak. Yang terpilih waktu itu adalah Ustaz Kassim  Ahmad dari Terengganu. Suatu tamparan kuat ke muka beliau. 
  
 
  
Saya  masih ingat, sebelah petangnya, waktu mengundi melantik Pengerusi  Tetap, kiraan awalnya berpihak ke Ustaz Abu Bakar Umar, tetapi dibuat  pengiraan semula atas alasan perwakilan masih belum masuk penuh. Undi  waktu itu hanya melalui angkat tangan saja. Di sinilah teknik yang  digunakan oleh puak-puak penentang Mohd Asri amat berkesan. Hal ini  diakui sendiri oleh jurukiranya Saudara …..  (Maaf,  belum mohon kebenaran untuk memaparkan namanya..) yang menambah jumlah  undi penentang Mohd Asri. Menurutnya waktu itu kalau dikira betul-betul  mungkin kemenangan  berpihak kepada Mohd Asri.
  
 
  
Perlepasan  jawatan Allahyarhan Mohd Asri disambut dengan takbir gembira beberapa  kali oleh hadirin. Saya yang tak tahu politik dalaman parti apa-apa  waktu itu turut gembira dengan melambung kain serban merah yang saya  pakai. Kalau tak salah, saya mewakili PAS Kawasan KL Bandar yang  di’group’kan dengan kumpulan pro Mohd Asri. Sekian lapuran muktamar ke  28 tersebut yang meletakkan Tuan Haji Yusuf  Rawa sebagai orang nombor 1 dalam PAS.
  
 
  
Tuan  Haji Yusuf juga pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, dalam  tempoh masa yang agak lama. Beliau menggantikan Pesuruhjaya pertama  Pulau Pinang, yang diarahkan menjadi Pesuruhjaya pertama Terengganu bagi  menggerakkan PAS di situ hingga berjaya PAS menawan Terengganu dalam  PRU pertama lepas merdeka tahun 1959.
  
 
  
Teringat kisah lucu, gurauan dengan beliau se waktu berada di rumahnya…
  
 
  
“Nama ‘Rawa’ di hujung nama ana ini banyak memberi tuah pada PAS..” Kata beliau. Nama beliau sebenarnya Haji Yusseof  bin Haji Abdullah Ar-Rawa. ‘Rawa’ adalah keturunan bangsawan dari tanah besar Sumatera, yang menjadi keturunannya.
  
 
  
“Fasai apa pulak Tuan Aji?” Saya tanya.
  
 
  
“Pernah  ana jumpa seorang dari Menteri dari Negara Arab, bila ana perkenalkan  nama ana Yusuf Abdullah Ar-rawi (Rawa), dia sangat gembira. Sangkanya  kami adalah dari satu keturunan, ‘Ar-rawi’. Maka dia beri 3 biasiswa  untuk pelajar Malaysia belajar di negara Iraq. Saya beri pada PAS..  Salah seorang dari mereka yang dihantar belajar di sana adalah Haji  Hasan Shukri.” Jelas beliau.
  
 
  
Rupanya  Tuan Haji Hasan Shukri juga adalah orang yang membantu saya percepatkan  penubuhan cawangan-cawangan dan PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau,  semasa beliau bertugas di pejabat Agung PAS, masa itu. 
  
 
  
Saya masih kenang jasa-jasa mereka semua.  Kisah  sejarah PAS Balik Pulau akan bersambung lagi, tetapi mungkin akan  terputus sementara kerana saya tiada di Malaysia mulai besok. Insya  Allah bertemu lagi akan datang…