9/27/11

Naik bas: Antara Najib dengan Nik Aziz

Gambar kiri dirakamkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bas sempena lawatan sehari beliau ke Perak, Sabtu lalu.

Mereka berdua turut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abd Kadir (kanan) dan isteri Datin Seri Sharifah Zulkifli (kiri) dalam perjalanan dari pekan Tanjung Tualang ke Sekolah Kebangsaan Changkat Tin bagi menghadiri majlis perkahwinan iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan pasangannya Ahmad Fariz Hassan.

Namun, ramai yang tidak tahu, inilah bentuk dan rupa bas yang dinaiki Najib dan isterinya itu.

Gambar kanan pula dirakam sewaktu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaiki bas ke suatu program pada 29 Jun lalu.

Jamuan Hari Raya PAS Cawangan Simpang Empat, Balik Pulau

Simpang Empat, Balik Pulau : Ahad, 25 September 2011

PAS Cawangan Simpang Empat, Balik Pulau telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri bertempat di Balai Raya Simpang Empat, Balik Pulau. Menurut Ketua PAS Cawangan, Tn. Haji Zulkifli Ismail, majlis ini adalah acara tahunan PAS cawangan yang mana dengan adanya majlis ini, ianya telah dapat mengeratkan silaturahim antara semua ahli-ahli PAS dan keluarga bersama dengan masyarakat setempat.

Masyarakat setempat yang terdiri dari berbagai bangsa dan agama begitu ramai sekali menghadiri sambutan majlis Hari Raya ini. Para tetamu telah disajikan dengan makanan tradisional seperti ketupat, lemang, nasi himpit, sate, laksa Penang dan lain-lain. Juadah tersebut telah disediakan secara bergotong royong dan sumbangan oleh ahli-ahli PAS Cawangan Simpang Empat. Majlis juga turut dihadiri oleh sebilangan besar wakil Pakatan Rayat seperti PKR dan DAP Kawasan Balik Pulau.






9/25/11

Jamuan Hari Raya PAS Kawasan Balik Pulau



Sejarah PAS Balik Pulau oleh Ibnu Hasyim


Untuk dijadikan rujukan buat semua


Sejarah Politik B.Pulau 1: PAS & ….

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“SEJARAH PAS Balik Pulau,.. Nak cerita apa?” Saya tanya, ketika ada antara kawan-kawan yang suruh cerita balik, bagaimana saya bersama-sama mereka gerakkan PAS Balik Pulau?

Kebetulan kereta yang mereka pandu bawa saya ini melintasi kawasan Air Putih, simpang tiga antara Permatang Pasir, Titi Teras dan Jalan Baru. “Waktu saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dulu, saya pernah menziarahi rumah itu…” Saya tunjuk kepada mereka.

Rumah seorang tokoh lama perjuangan rakyat Balik Pulau terkenal dengan gelaran ‘Hashim Chairman’. Waktu saya ziarah itu, beliau sedang sakit terlantar di rumahnya.. Maklumlah sudah lanjut usia, beliau dilahirkan di Balik Pulau pada tahun 1912. Latar belakang pendidikannya agak menarik. Dari sekolah Melayu Sungai Pinang, ke Daerattul Maarif Kepala Batas, Sekolah Al-Mashhor Pulau Pinang dan Anglo Chinese School Pulau Pinang. Namanya sama dengan nama ayah saya, iaitu Hashim bin Sulaiman.

Beliau pernah bekerja sebagai operator telefon, wakil akhbar Utusan Melayu & majalah Qalam dan guru Sekolah Nahdatun Al- Shun Al Dinnah, Balik Pulau. Beliau pernah menjadi AJK Kesatuan Melayu semasa pendudukan Jepun bagi Mukim Balik Pulau. Pengasas PKMM atau Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya cawangan Balik Pulau dan pengerusinya (1945-1949). Saya terangkan kepada mereka.

“Apa kena mengena dengan PAS?” Ada yang tanya.


“PAS masih belum ada waktu itu.. Tetapi darah perjuangan Islam tetap mengalir dalam tubuh perjaungannya. Itu sebab, kita jangan sombong bila berjaya menanam benih-benih di atas tanah yang sudah digembur oleh pejuang-pejuang terdahulu. Kita berjaya tubuh PAS Balik Pulau, juga kerana pertolongan kawan-kawan kita yang bukan PAS. Contoh, dari Partai Rakyat (atau PSRM = Partai Sosialis Rakyat Malaya) yang pernah memenangi Parlimen Balik Pulau tahun 1969. Lihat cerita saya sebelum ini ‘Kisah YB Balik Pulau’ di mana jasa Man Dagu (Maaf saya tak tahu nama sebenarnya) tidak dapat dilupakan.

Saya masih ingat lagi nama Non Jenjo (saya tak ingat nama sebenarnya) seorang pengembala lembu yang berani, turut membantu dan mengizinkan rumahnya diadakan ceramah PAS sekitar 1985-1986. Yang saya ingat rumahnya di belakang Pinang Nirai (nama dulu) antara jalan besar Simpang 4 ke Kongsi). Dia juga adalah aktivis Partai Rakyat, tidak takut dan gentar ugutan polis waktu itu.. yang puak-puak ustaz kita pun tak se berani beliau. Begitu juga saudara Umar Usman, beliau mengutus kawannya memberi tahu saya tidak dapat hadir dalam perjumpaan di kedai kopi Sungai Rusa malam beberapa hari lepas, kerana hari sudah larut malam dan badannya pun kurang sihat. Maaf saya tak sempat ke rumahnya selepas itu.

Kirim salam padanya, kalau ada kawan-kawan beliau membaca tulisan ini. Kami pernah berforum bersama-sama di KOMTAR, mengenai masalah Melayu Pulau Pinang berdepan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang waktu itu Dr Ibrahim Saat, dan tokoh S46 Haji Sulaiman Palestin. Begitu juga jasa kawan-kawan lain, walaupun dari UMNO yang menyokong kami dari belakang tabir. Apalagi bila lahir dari turunan mereka pimpinan PAS Kawasan sekarang, seperti Setiausaha Kawasan dan lain-lain.

“Kalau macam tu, YB Parlimen sekarang tak boleh la sombong sangat kerana dapat kemenangan mudah!!” Kata salah seorang dari kami.

Saya meneruskan cerita, “Seorang lagi pimpinan lama PAS yang membantu membangunkan PAS di Balik Pulau ialah Pak Leh atau Haji Idris. Beliau tinggal di Sungai Nibung. Ceramah beliau yang pertama di sini ialah di rumah Haji Ramli, sempadan antara Kampung Perlis dengan Pulau Betong. Beliau hadir mewakili PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang.” Saya masih ingat lagi ceramahnya.

Semasa buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ berada di pasaran pada 1991, seorang ahli PAS dari Bayan Baru menemui saya, katanya seolah-olah membantah, “Hampa (kamu) kata, hampa tubuh PAS Balik Pulau… bagi orang yang perjuangkan PAS sebelum ini di Balik Pulau macam mana? Contohnya Pak Leh, Haji Husin Derani dan ramai lagi..”

Saya akan huraikan lanjutnya dalam tulisan yang akan datang. Yang penting, Pak Leh mempunyai saham yang besar dalam membangkitkan PAS Balik Pulau. Terakhir saya jumpa Pak Leh di Sungai Nibong beberapa tahun lepas. Sehingga kawan saya berkata, “Pak Leh nampak makin muda, setelah lama tak jumpa. Di samping factor ketenangan dalam perjuangan, mungkin ada rahsia lain lagi..”

“Apa rahsianya, bagi tau la. Aku nak menuntut ilmunya?” Saya tanya.

“Tak boleh! Hanya orang yang lalui yang tahu. Atau kena tanya Pak Leh sendiri!!”

Terpinga-pinga saya. Saya diberitahu, Pak Leh baru berkahwin lagi, isteri muda orang Kemboja. Dan kawan saya yang bercakap tadi itupun baru tambah isteri. Tu kot rahsianya???

Sekian catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober06, 08 Balik Pulau, PP.



Sej. Politik B.Pulau 2: Ceramah PAS DiBaling Batu….


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


ENTAH macam mana, dikatakan kami tubuh PAS cawangan Kampung Perlis dulu tidak melalui PAS Perhubungan Negeri. Memang saya isi borang penubuhannya, dan terus ke ibu pejabat KL, waktu itu di Jalan Pahang Barat off Jalan Pahang. Konon marahlah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang waktu itu. Memang boleh tubuh pun, tapi saya tidak tahu hal itu menyalahi peraturan parti.

Pesuruhjaya PAS itu ialah Allayarham Haji Zabidi bin Ali. Haji Zabidi adalah antara pengasas penubuhan PAS, lahir 1914 di Seberang Perai. Asal dari Sekolah Melayu Seberang Perai, 4 tahun belajar di Mekah dan Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Menjadi guru agama antara 1942- 1964 dan ADUN Pulau Pinang mulai 1974… Pengalaman kepimpinan dan politiknya memang hebat. Pernah jadi AJK Persatuan Melayu Seberang Perai 1947-1948, pengasas dan YDP Perikatan Penanam-Penanam Padi Melayu Seberang Perai 1948-1951, dan YDP Pertubuhan Tani Malaya 1951-1955.

Istimewanya pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya pertama di Malaya 1955. Pernah jadi AJK Pegerakan Pemuda Melayu Seberang Perai, Pegawai Penerangan PAS 1951-1957, Pemangku Setiausaha Agung PAS 1956, dan AJK Perhubungan PAS Negeri Terenganu 1972-1976. (Mengapa AJK Perhubungan PAS Terengganu tidak Pulau Pinang?, Saya akan hurai pada kesempatan yang lain.) Memang peringkat awal nampak macam bercanggah antara saya dengan PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang. Negeri dengan polisinya membekukan sementara percambahan penubuhan cawangan baru.

Sedangkan saya di Balik Pulau terus menggempur penubuhan sebanyak mungkin cawangan. Kadang-kadang percanggahan seperti inilah yang memotivasikan kami, untuk terus menggerakkan PAS. Ini membuat jasa Tuan Haji Zabidi di Balik Pulau sangat saya kenang. Terakhir saya tinggalkan PAS Balik Pulau sekitar 1990an terdapat setiap saloran mengundi ada cawangan penaja, iaitu sebanyak 34 cawangan. Yang telah lulus pendaftaran kira-kira 20 cawangan. Sekarang saya tak tahu berapa..

Terdapat sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pernah kami berceramah di sebuah rumah di Sungai Tiram, di mana ada golongan tertentu yang ‘diupah’ melempari batu, untuk menggagalkan majlis kami. Penceramah waktu itu adalah kawan saya iaitu L.Man Kadir Shamsi, bekas pelakon dan pengarah filem sebelumnya. Saya ingat antara kata-katanya…

“…Jangan ingat kami gentar dengan baling batu ini… Ini! Lihat tangan saya, bekas parut dalam peristiwa berdarah di Lubuk Merbau Kedah masih belum kering lagi!!” Disambut dengan takbir bergemuruh. (Memang dia ada di Lubuk Merbau semasa berlaku peristiwa berdarah itu.)

Sekali dia dan saya datang dari KL kira-kira 2 minggu tinggal di Balik Pulau, mengatur, menyusun program dan kalau tiada penceramah, kami yang berceramah sendiri. Kami tidur di markas PAS Balik Pulau yang kami bina di Kampung Perlis, menelan belanja kira-kira RM30,000. Pernah sepanjang bulan Ramadzan dalam tahun 1986, kami adakan 25 ceramah lepas sembahyang tarawih. Hampir setiap bulan kami datang, waktu itu saya ada agak banyak wang, tapi bukan kaya…

Kadang-kadang lucu juga bila difikirkan, kerana kami yang tulis poster, kami yang tampal dan kami yang berceramah malamnya. Maklumlah, kerana petugas-petugas tak sampai 20 orang mulanya. Kuliah tetap di markas pun dimulakan. Antara tenaga pengajarnya ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi dan beberapa lagi. Sambung kisah tadi… Malam ceramah bersejarah itu, kami terpaksa menunggu hingga siang kerana tuan rumah takut rumahnya diserang lagi. Itulah detik-detik cemas, sedih dan pilu, yang sungguh menyayat hati bersama tuan rumah.

Antara penceramah-penceramah yang pernah berceramah di Balik Pulau waktu itu, ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Hadi, Mahfuz Omar, Mohd Sabu, Cikgu Wahab Kedah, Mat Izam Perak (sekarang Pimpinan Lajnah Buruh PAS Malaysia), Allahyarham Osman Marzuki, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi, Ustaz Mohd Hussin Kelantan, Kamal Koh & Reduan On dari KL, Yusuf Husin & Ustaz Harun Md Isa yang cedera dalam peristiwa Memali dan ramai lagi.

Sekian kisah sejarah PAS Balik Pulau dalam catatan santai kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober07, 08
Balik Pulau, PP.


Sej. Politik B.Pulau 3: Bersama Haji Yusuf Rawa…



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

KELUAR saja buku saya 1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’, saya hadiahkan kepada Tuan Haji Yusuf Rawa, kerana beliaulah penasihat kami, tempat rujukan dan apa-apa hal pun, kami cari beliau.

Contohnya, bila ceramah politik Ustaz Hadi yang kami rancang di Balik Pulau dibatalkan di saat akhir oleh pihak polis, kami tanya pendapat beliau. Katanya sebagai penyelesaian, “Batalkan ceramah politik, gantikan dengan ceramah agama, pindah ke tempat berdekatan..” Ertinya ceramah tetap dijalankan juga! Begitu juga mengenai kitab-kitab yang dijadikan teks pengajian di markas atau tenaga pengajar, kami kami rujuk kepada beliau. Juga mengenai buku saya itu setebal 672 itu, “Ada sikit maklumat yang tak betul..” katanya.

Yaitu pada muka surat 291 baris kedua dari bawah tertulis, ‘Beliau yang mendapat anugerah Jaksa Pendamai dari kerajaan Kedah …’ sebenarnya bukan ‘Kedah’ tetapi Pulau Pinang. Di sini saya mengambil kesempatan untuk membetulkan tulisan tersebut, iaitu maklumat tentang biografi dirinya. Haraf maaf, terutama kepada pembaca buku saya itu! Mengenai biogarfi beliau tak payah saya ulang lagi, kerana sudah ramai yang tahu. Banyak sudah ditulis orang, dan dalam buku saya itu agak panjang juga.

Yang penting cuma beliau yang lahir pada 8 Mei 1922 itu telah diamanahkan memimpin PAS menggantikan Dr Mohd Asri Haji Muda, Yang Di Pertua (YDP atau istilah baru Presiden) PAS ke 4, setelah Haji Ahmad Fuad Hasan, Dr Abbas Alias dan Dr Burhanuddin Al-Helmi pada Muktamar Agung PAS ke 28. Muktamar yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada 22 Oktober 1982. Saya ada dalam majlis itu pada masa itu.

Begini serba sikit lapuran ceritanya…

Pada hari pertama muktamar itu seperti biasa ucapan dasar YDP PAS, dibentangkan. Ucapan yang banyak menimbulkan tidak puas hati perwakilan. Pada saya perwakilan pada masa itu mulai berubah.. antaranya kerana..

1.. Ahli PAS mula pertikaikan ‘pendekatan PAS ala kebangsaan’, bahkan hingga ada yang menuduh perjuangan PAS tidak Islamik yang perlukan perubahan.

2.. Semboyan kepimpinan ulama seperti yang berlaku di Iran dalam revolusi Islam pimpinan Ayatullah Khomeini 1979 menggulingkan Syah Iran yang didalangi Amerika, juga mempengaruhi muktamar.

3.. Ramai perwakilan yang bertakbir ‘Allahu Akbar’ bila bersetuju menyambut ucapan pemimpin menggantikan budaya ‘tepuk tangan dan bersorak’ sebelum itu.

4..Mereka mahu pimpinan atasan mereka termasuk YDPnya terdiri dari ulama atau berpendidikan agama yang tinggi.

5..Ucapan atau ulasan kepada ucapan dasar YDP itu dikatakan menghina majlis-majlis usrah ahli PAS dan suara-suara takbir ahli PAS kononnya dipengaruhi oleh negara Iran..

6.. Mungkin juga kerana kepimpinanan Mohd Asri sudah menampakkan kelemahan, terutama mengheret PAS ke dalam Kerajaan Campuran bersama BN, PAS disingkir dari BN, Politik Darurat merampas Kelantan secara curang dari PAS, kekalahan teruk dalam PRU 22 April 1982 dan lain-lain.

Pada hari kedua muktamar, tiba-tiba YDP PAS Haji Mohd Asri mengumumkan perlepasan jawatan.

1.. Hal ini berlaku, apabila ucapan dasar YDP dikritik hebat dan ditolak.

2.. Cadangan Mohd Asri supaya melantik Ustaz Abu Bakar Omar jadi Pengerusi Tetap muktamar juga ditolak. Yang terpilih waktu itu adalah Ustaz Kassim Ahmad dari Terengganu. Suatu tamparan kuat ke muka beliau.

Saya masih ingat, sebelah petangnya, waktu mengundi melantik Pengerusi Tetap, kiraan awalnya berpihak ke Ustaz Abu Bakar Umar, tetapi dibuat pengiraan semula atas alasan perwakilan masih belum masuk penuh. Undi waktu itu hanya melalui angkat tangan saja. Di sinilah teknik yang digunakan oleh puak-puak penentang Mohd Asri amat berkesan. Hal ini diakui sendiri oleh jurukiranya Saudara ….. (Maaf, belum mohon kebenaran untuk memaparkan namanya..) yang menambah jumlah undi penentang Mohd Asri. Menurutnya waktu itu kalau dikira betul-betul mungkin kemenangan berpihak kepada Mohd Asri.

Perlepasan jawatan Allahyarhan Mohd Asri disambut dengan takbir gembira beberapa kali oleh hadirin. Saya yang tak tahu politik dalaman parti apa-apa waktu itu turut gembira dengan melambung kain serban merah yang saya pakai. Kalau tak salah, saya mewakili PAS Kawasan KL Bandar yang di’group’kan dengan kumpulan pro Mohd Asri. Sekian lapuran muktamar ke 28 tersebut yang meletakkan Tuan Haji Yusuf Rawa sebagai orang nombor 1 dalam PAS.

Tuan Haji Yusuf juga pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ke 2, dalam tempoh masa yang agak lama. Beliau menggantikan Pesuruhjaya pertama Pulau Pinang, yang diarahkan menjadi Pesuruhjaya pertama Terengganu bagi menggerakkan PAS di situ hingga berjaya PAS menawan Terengganu dalam PRU pertama lepas merdeka tahun 1959.

Teringat kisah lucu, gurauan dengan beliau se waktu berada di rumahnya…

“Nama ‘Rawa’ di hujung nama ana ini banyak memberi tuah pada PAS..” Kata beliau. Nama beliau sebenarnya Haji Yusseof bin Haji Abdullah Ar-Rawa. ‘Rawa’ adalah keturunan bangsawan dari tanah besar Sumatera, yang menjadi keturunannya.

“Fasai apa pulak Tuan Aji?” Saya tanya.

“Pernah ana jumpa seorang dari Menteri dari Negara Arab, bila ana perkenalkan nama ana Yusuf Abdullah Ar-rawi (Rawa), dia sangat gembira. Sangkanya kami adalah dari satu keturunan, ‘Ar-rawi’. Maka dia beri 3 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di negara Iraq. Saya beri pada PAS.. Salah seorang dari mereka yang dihantar belajar di sana adalah Haji Hasan Shukri.” Jelas beliau.

Rupanya Tuan Haji Hasan Shukri juga adalah orang yang membantu saya percepatkan penubuhan cawangan-cawangan dan PAS Kawasan Parlimen Balik Pulau, semasa beliau bertugas di pejabat Agung PAS, masa itu.

Saya masih kenang jasa-jasa mereka semua. Kisah sejarah PAS Balik Pulau akan bersambung lagi, tetapi mungkin akan terputus sementara kerana saya tiada di Malaysia mulai besok. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) Oktober08, 08 KL..

9/9/11

Kontroversi Sejarah: Apa Pendirian PAS?

Oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Kenyataan akhbar hari menenai pendirian PAS dalam kontroversi isu sejarah

1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu.

Ini pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno. Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu.

Kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat.

Dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini. Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media.

Firman Allah berkata:
"Sesungguhnya Tuhan kamu akan menjelaskan di hari akhirat apa yang kamu perselisihkan.”

Sehubungan itu, semua pihak harus kembali kepada akhlak Islam dan gesaan Rasulullah agar tidak memberi gelaran yang buruk kepada yang telah meninggal dunia.

Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya.

Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau.

Fakta yang ada saling bertentangan antara satu sama lain. Di satu pihak, beliau tidak pernah menganut fahaman komunisme, seorang penghafal Quran, berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor.

Belah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya.

Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tudahan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?

Dalam isu ini, PAS telah membuat pendirian yang jelas. Namun, kami percaya sebagaimana jelas pun pendirian kami, media perdana milik Umno tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing seperti kenaikan harga barang, isu penyelewengan daftar pilihanraya, isu memberikan kerakyatan untuk mendapatkan undi, isu rasuah, isu pembaziran Kementerian Pertahanan, isu penjualan saham Esso dan MAS, isu cincin RM24 juta, isu Bersih 2.0 dan terbaru isu cukai topup 6 peratus.

PAS juga meminta semua ahli dan seluruh umat islam mengadakan solat hajat dan tahlil arwah sempena Hari Malaysia 16 September kepada seluruh pejuang kemerdekaan dalam menentang penjajahan Inggeris, termasuklah kepada roh Mat Indera, Dr Burhanudin Helmy, Dr Zulkifli Mohamad dan selainnya. Majlis ini juga diharap akan membangkitkan semangat jihad bagi menegakkan keadilan dan kemenangan dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Diharapkan juga agar seluruh kawasan mengadakan ceramah khas erti kemerdekaan dari perspektif Islam. Semoga dengan majlis ini akan memperkukuhkan ingatan kita kepada perjuangan generasi awal dalam memerdekakan negara dari penjajahan asing.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

9 September 2011

9/1/11

Selamat Aidil Fitri

Pas Cawangan Sungai Rusa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat. Maaf Zahir dan Batin.

Pas Cawangan Sungai Rusa di Facebook

Assalamualaikum

Facebook Pas Cawangan Sungai Rusa telah diujudkan. Banyak info dan aktiviti seperti gambar-gambar dan lain-lain telah diupload. Sesiapa yang ada gambar-gambar kenangan berkaitan dengan Pas Sungai Rusa atau apa-apa bahan yang berkaitan, bolelah tag....